Taipan Malam : Zoom R12

Aku berhajat untuk memiliki alatan perakam trek-pelbagai (multi-track) ini, walaupun sudah ada perisian rakaman canggih (DAW) di komputer iMac ku.

Aku memakai perisian terkini Studio One.

Kenapa?

Aku pun tak tahu. Mungkin kerana aku bermula rakaman 20 tahun lalu menggunakan Tascam 4 trek (guna kaset), dan selepas itu Zoom MRS8 (8 trek), sebelum Rafikonsep memperkenalkan aku pada perisian Cubase di komputer.

Agak sekolah-lama (old school) di situ.

Mungkin juga aku mahu kembali minimalis – buat muzik di komputer terasa seperti terlalu mudah, ataupun terlalu banyak pilihan, ataupun adanya internet – membuatkan aku berasa banyak gangguan ketika membikin karya.

Mungkin ini semua alasan. Aku hanya mahukan gajet baru.

Aku bayangkan yang Zoom R12 ini ; aku boleh rakamkan muzik di mana-mana saja ; bukan saja ruangan di rumah, tapi di luar ketika berjalan-jalan. Kena bawa gitar lah.

Mungkin juga aku mahu fokus sepenuhnya pada pengkaryaan tanpa gangguan. Aku masih teringat dulu betapa khusyuknya aku buat muzik dengan ZOOM MRS8 ; ketika masih bujang, berjam-jam aku habiskan.

Dengan komputer, tiada stamina yang sama (mungkin kerana sibuk, ataupun sudah tua), mungkin juga kerana penat fokus pada skrin.

Aku akui sekarang aku semakin malasan untuk berkarya lagi (setelah hentikan SajakiriVokal beberapa tahun lalu).

Tapi seperti juga taipan malam ini ; ilham masih ada tersemat, dan ingin diluahkan, supaya aku terus waras.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *